Thursday, 21 April 2011

Sepanjang jalan kenangan

Sekarang ni zaman senang nak cari kawan-kawan terutama kawan yang celik IT. Buka saja Facebook, taip saja nama, pasti akan ada. Cuma kenal dengan tak kenal saja. Boleh la cuba nasib kalau betul itu kawan yang kita cari.

Aku tak punya kawan rapat sejak dulu hingga kini. Setakat kawan biasa saja.Jumpa hai-hai, sembang masa berjumpa, tiada cerita kenangan, hot-hot ke atau apa kecuali saudara mara. Suami dan anak-anak saja kawan rapatku. Barangkali ianya berkaitan juga dengan apa yang aku lalui dari kecil hingga besar.

Masa kecik, barangkali aku terlalu dikawal oleh ayah mak. Nak jalan rumah kawan-kawan pun tak boleh walaupun hari raya.Kalau pergi juga, bermakna aku mesti curi-curi. Nak tidur rumah kawan-kawan, apatah lagi. maka jadilah aku anak dara yang sangat dipingitkan. Itu tak boleh, ini tak boleh, buat macam ni memalukan mak ayah, buat macam tu memalukan mak ayah. Maklumlah tinggal di kampung. Jalan kerumah seberang parit pun tak boleh. Macam mana aku nak kawan?

Seronok bila dengar kawan-kawan buat perjumpaan kawan sekolah rendah, sekolah menengah, kawan kolej tapi aku cuma buat perjumpaan dengan suami dan anak-anak.Rasanya aku pun tak tau mana kawan baik aku sebab langsung tak pernah terbayang dalam fikiran nak jumpa mana-mana kawan. Kalau kebetulan jumpa, ok tapi kalau tak jumpa pun tak apa dan tiada sesiapa yang aku nak jumpa.

Kawan aku adalah kawan masa sekarang. Dulu nak pergi main rumah kawan pun tak boleh. Seronok bila pnut cerita dia merayau satu kampung main dengan kawan-kawan. Mainan aku cuma kat anjung rumah. Main masak-masak dengan adik dan sepupu. Nak merayau dengan kawan-kawan, jangan harap. Hairan aku rasa bila aku ingat balik, kakak-kakak dan adik boleh pula pergi jalan-jalan rumah kawan-kawan atau mereka pun macam aku juga? Tak pasti sebab kami tak pernah bincang tentang masa kecik, main sana sini. Tiada langsung.

Bila dah remaja, apatah lagi. masa kecik pun tak dapat pergi main-main, bila dah besar lagi kena kontrol oleh mak ayah. Kalau balik terlambat sikit dari sekolah atas alasan bas rosak, jangan harap mereka akan terima. Dengarlah leteran sepanjang masa selagi mak tak lupa padahal memang bas rosak pun.Kalau lambat sikit, aku dah terketar-ketar, takut sangat sebab nanti satu keluarga akan tunggu kat perhentian bas. Turun saja dari bas, tadah la telinga.

Nak kerja pun tak dibenarkan oleh ayah. Jadi lah aku penunggu rumah. Selepas habis belajar, nasib baik mak ayah terima pula pinangan babah walaupun masa tu kami baru 21 tahun. Selepas bertunang, barulah langkah panjang sikit. Keluarga tunang lebih terbuka. Minta aku sambung belajar dan cari kerja selepas habis belajar. Kalau ikut mak ayah, memang tujuan mereka nak saja aku menikah cepat-cepat. Selepas 4 tahun, bertunang, kemudian sambung belajar, bekerja, berkahwin baru lah aku dapat buat apa yang aku nak.

Babah dan keluarganya sangat memahami. Mereka memberi kebebasan penuh untuk aku menentukan hala tuju hidup sendiri dan aku kini menjadi aku hari ini. Babah tak pernah langsung menyekat apa saja yang aku nak buat asalkan baik.Bebas sebebasnya tapi sebab aku dah biasa hidup selama 25 tahun dikawal, tak lah aku kemana pun. Kawan? Ya lah kawan baikku cuma suamiku. Dialah tempat aku bercerita. Dialah segalanya. Dialah sahabat karibku. Teman yang boleh aku percaya.

Pernah kami berbual dan memikirkan benda yang tak masuk akal. Jika kami diberi peluang untuk kembali kezaman dulu aku tidak akan sekali-kali berpatah balik. Aku nak hidup aku hari ini.

Nyatakanlah siapa kawan baik aku dulu. Tiada. Apa mainan yang memberi kenangan pada aku? Main masak-masak dianjung rumah, main guli bawah rumah. Hari raya apa yang aku buat? Menunggu tetamu, hidang kuih dan basuh pinggan hingga raya kelapan. Kemuncak bila kami habis berpuasa 6. Masa tu nak jalan pun tak ada sapa dah nak beraya dan memang tak ada peluang langsung nak jalan.Kalau nak jalan masa raya tu, mak dah bagi amaran siap-siap, nanti orang datang, tolong buat air. Tetamu pula datang tak berhenti seawal 8 pagi hingga tengah malam.

Tak nak ingat tapi tetap ingat. Anggap saja apa yang mak ayah buat tu terbaik untuk aku sebab dengan cara mak ayah, aku dapat jodoh yang terbaik, aku menjadi isteri dan ibu yang bertanggungjawab yang tak akan kemana-mana tanpa menyiapkan kerja rumah terlebih dahulu. Pastikan rumah berkemas, makanan ada untuk ahli keluarga yang tinggal dan sentiasa cuba memberi yang terbaik untuk keluarga.

Kadang-kadang aku tertekan juga sebab aku nak orang lain juga bersikap macam aku tapi oleh sebab cara didikan yang berlainan maka cara hidup juga berlainan. Aku kena terima tu. Kadang-kadang pula masa terlalu suntuk tapi aku nak juga siap memasak dan mengemas. Lepas tu mula lah aku bebel sebab anak-anak tak nak tolong.

Aidah. idea kamu la ni sebab Aidah bagi tau nak jumpa kawan sekolah rendah. Huhuhu, seronoknya. Kak yati tak punya kawan sekolah rendah yang nak jumpa pun.

No comments: